Maliki seru tunjuk ihsan di majlis buka puasa BH bagi anak yatim Darul Ihsan
- MTFA Marketing
- 6 days ago
- 3 min read
Seru usah berpaling dari mereka yang memerlukan dalam majlis buka puasa BH bagi anak yatim Darul Ihsan

(Dari kiri) Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SPH Media, Encik Kuek Yu Chuang; Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua (Pendidikan dan Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman; Editor BH, Encik Nazry Mokhtar; dan Ketua Editor Kumpulan Media Inggeris/Melayu/Tamil SPH Media, Encik Wong Wei Kong, memberikan baju Raya serta duit Raya kepada penghuni Rumah Anak Yatim Darul Ihsan.
Tragedi akibat konflik seperti peperangan di Timur Tengah memberi peringatan untuk menghargai kestabilan yang wujud di Singapura.
Namun, lebih penting ialah peringatan tentang kewajipan menunjukkan rasa belas ihsan, membantu satu sama lain dan tidak berpaling dari mereka yang memerlukan, kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua (Pendidikan dan Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman.
Beliau berkongsi demikian di majlis berbuka puasa bagi penghuni Rumah Anak Yatim Darul Ihsan anjuran Berita Harian (BH) pada 13 Mac.
“Dunia hari ini dipenuhi dengan ketidakpastian. Konflik, seperti peperangan di Timur Tengah, mengingatkan kita betapa rapuhnya keamanan.
“Kita melihat keluarga berpecah-belah, kanak-kanak bergelut untuk mencari keselamatan, dan masyarakat yang cuba membina semula kehidupan mereka.
“Tragedi ini mengingatkan kita supaya menghargai kestabilan yang kita ada di Singapura, tetapi yang lebih penting, ia mengingatkan kita tentang kewajipan kita untuk menunjukkan belas ihsan, saling membantu dan jangan sekali-kali berpaling dari mereka yang memerlukan,” ujar Dr Maliki.
Beliau menambah bahawa dengan sokongan sesuai, kerja keras, dan keyakinan, keadaan boleh berubah ke arah yang lebih baik.
BH mengadakan majlis buka puasa itu sebagai sebahagian usaha mendekati masyarakat. Sekitar 100 kakitangan BH dan kanak-kanak Darul Ihsan hadir di majlis yang diadakan di Red Velvet Ballroom, Village Hotel Bugis.
Kanak-kanak itu turut diberikan baju Raya serta duit Raya.
“Bulan ini mengingatkan kita bahawa segala nikmat yang kita ada – rezeki, kesihatan, ilmu, dan keamanan – bukan hanya untuk diri kita sendiri, tetapi juga untuk dikongsi dengan orang lain.
“Apabila kita berkongsi, kita bukan sahaja membantu mereka yang memerlukan tetapi juga mengukuhkan lagi hubungan silaturahim dalam masyarakat kita,” kata Dr Maliki.
Majlis itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Dana Amanah Muslimin (MTFA), Dr Abdul Qader Al-Aidaroos; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SPH Media, Encik Kuek Yu Chuang; Ketua Editor Kumpulan Media Inggeris/Melayu/Tamil SPH Media, Encik Wong Wei Kong; dan Editor BH, Encik Nazry Mokhtar.
Maybank Singapore and Landmark Restaurant turut menaja makanan bagi acara itu, manakala butik Munawwarah, milik Cik Rasidah Mohamad Din, menaja pakaian bagi penghuni Darul Ihsan yang hadir.
Encik Nazry juga telah menyerahkan derma yang dikumpulkan oleh kakitangan BH sebanyak $6,300 kepada wakil Darul Ihsan di majlis itu.
Ketua Perbankan Islam Maybank, Encik Sazzali Sabandi, turut menyampaikan sumbangan sebanyak $9,450 daripada Maybank kepada Ketua Pegawai Eksekutif MTFA, Dr Abdul Qader Al-Aidaroos, yang disaksikan oleh Pengurus kanan Maybank, Encik Fazlur Rahman Kamsani, dan Encik Nazry.
Dalam ucapannya sebelum berbuka puasa, Encik Nazry berkata BH telah meningkatkan usaha mendekati masyarakat sejak ia melalui transformasi dua tahun lalu.
“Kami di Berita Harian amat berbesar hati dapat menganjurkan acara istimewa ini. Kami harap acara ini dapat menjadi simbol tentang komitmen kita untuk mengongsi kegembiraan bersama dan membina masyarakat yang inklusif,” kata Encik Nazry.
BH juga akan menganjurkan acara golf amal pada Julai sempena sambutan ulang tahun ke-60 kemerdekaan Singapura (SG60) dengan matlamat mengumpul $300,000 untuk mereka yang kurang berkemampuan, menurut Encik Nazry.
Beliau mengalu-alukan pihak yang ingin tampil menjayakan acara yang dianjurkan bersama AMP Singapura itu.