MTFA perkukuh komitmen demi masa depan: Sepanjang 120 tahun bantu dengan ihsan
- MTFA SG
- Mar 7
- 2 min read

Bermula dengan satu misi untuk membantu masyarakat Islam kurang berkemampuan pada 1904, Persatuan Dana Amanah Muslimin (MTFA) kini memasuki fasa transformasi dengan meluaskan khidmatnya.
Sebagai badan amal Islam tertua di Singapura, MTFA telah berkhidmat kepada masyarakat selama 120 tahun, dan sentiasa berpegang teguh kepada prinsip ihsan dalam setiap misi dan khidmat yang ditawarkan.
Presiden MTFA, Encik Abdul Rahman Mohd Hanipah, menegaskan bahawa setiap sokongan yang dilaksanakan dengan ihsan membawa kesan yang lebih besar daripada sekadar memberi bantuan semata-mata.
“Kami bukan hanya ingin membantu untuk hari ini, bahkan membina asas yang kukuh bagi mereka yang memerlukan pada masa hadapan.
“MTFA juga mengendalikan beberapa entiti lain termasuk Rumah Anak Yatim Darul Ihsan, yang telah menjadi tempat perlindungan bagi anak-anak yatim selama lebih 60 tahun.
“Pengembangan khidmat ini adalah bukti komitmen kami mahu terus berkembang sambil mengekalkan nilai-nilai teras kami.
“Kami bukan hanya ingin membantu individu, malah membina masa depan yang lebih cerah untuk generasi akan datang,” ujar Encik Abdul Rahman.
“Sepanjang 120 tahun ini, MTFA tetap berpegang pada prinsip asas kami iaitu berkhidmat dengan penuh ihsan.
“Warisan kecemerlangan dalam perkhidmatan ini terus membimbing dan membentuk evolusi kami,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MTFA, Dr Abdul Qader Al-Aidaroos.
Pada 2025, MTFA bakal membuka dua lagi pusat dialisis baru, Ihsan Kidney Care (IKC) di kawasan Henderson dan Yishun.
Peluasan khidmat MTFA itu bakal meningkatkan jumlah pesakit yang mampu menerima rawatan daripada 66 orang kepada lebih 450 orang secara keseluruhannya.
“Pengembangan pusat dialisis kami bukan sekadar pertumbuhan fizikal, malah tujuan kami mahu menjadikan penjagaan kesihatan yang bermutu, lebih mudah diakses oleh masyarakat setempat.
“Selain IKC, tahun ini (2025) juga merupakan tahun penting bagi MTFA dalam penubuhan sebuah hab pendidikan, pengembangan madrasah percuma, ‘Ulum Ihsan dan lebih banyak lagi peluang kerjasama dengan badan-badan sukarela bagi memenuhi keperluan masyarakat kita.
“Dengan ihsan, kita boleh mengubah ‘kemungkinan menjadi kenyataan’,” ujar Dr Abdul Qader.
Sempena Ramadan 2025, MTFA melancarkan kempen, ‘With Ihsan, We Can’, yang mencerminkan komitmen badan itu untuk terus memperluaskan perkhidmatannya.
“Ketika kami memasuki tahun ke-120 bagi perkhidmatan ini, kami mengundang masyarakat sama-sama menyertai perjalanan ini dalam mengembangkan jalinan murni melalui ihsan.
“Bersama-sama, kita boleh mencipta impak yang lebih besar untuk generasi akan datang,” tambah Dr Abdul Qader.
SEKILAS TENTANG MTFA
• Sepanjang 120 tahun berkhidmat kepada masyarakat.
• Lebih 60 tahun mengendalikan Rumah Anak Yatim Darul Ihsan.
• Lebih 55,000 rawatan dialisis telah dijalankan di Ihsan Kidney Care (IKC) sejak 2018.
• Jumlah pesakit yang boleh dirawat di IKC bakal meningkat kepada 450 orang pada 2025.
Untuk maklumat lanjut mengenai program MTFA atau cara menghulur sumbangan, layari laman web, www.mtfa.org, atau hubungi talian 6747-7556.