top of page

Dari Malja’ Al-Aitam ke Darul Ihsan: Legasi jagaan anak yatim sejak 1928


Rutin harian di Darul Ihsan termasuk mengulang kaji kerja sekolah, sesi bertadarus dan solat berjemaah.
Rutin harian di Darul Ihsan termasuk mengulang kaji kerja sekolah, sesi bertadarus dan solat berjemaah.

Rumah Anak Yatim Darul Ihsan, yang beroperasi di bawah Persatuan Dana Amanah Muslimin (MTFA), telah berbakti kepada masyarakat selama lebih 60 tahun. Ia bukan sekadar menyediakan tempat tinggal, malah menawarkan persekitaran yang menyokong perkembangan menyeluruh penghuninya – dari aspek pendidikan, emosi hingga rohani. Sebenarnya, rumah ini merupakan kesinambungan kepada nama asalnya, Malja’ Al-Aitam, yang telah ditubuhkan seawal tahun 1928.


Ketua Pegawai Eksekutif MTFA, Dr Abdul Qader Al-Aidaroos, menegaskan bahawa peranan Darul Ihsan jauh melangkaui penyediaan keperluan asas.


“Sejak 1962, visi kami adalah memastikan setiap kanak-kanak di bawah jagaan kami dibekalkan dengan kemahiran dan sokongan yang diperlukan untuk menjadi individu berdikari. Penjagaan di Darul Ihsan bukan sekadar menyediakan makanan dan tempat tinggal, bahkan membina asas yang kukuh demi masa depan mereka, sama ada dari segi akademik, sosial, emosi ataupun kerohanian,” kata Dr Abdul Qader.


Ketika ini, Darul Ihsan menempatkan seramai 63 penghuni di dua rumah berasingan bagi lelaki dan perempuan, dengan penghuni termuda berusia lima tahun sehingga 17 tahun.


Penghuni diberi pelbagai peluang mengembangkan diri melalui program pembelajaran Al-Quran, lawatan pendidikan ke galeri dan tempat bersejarah, serta kegiatan riadah bersama pertubuhan lain.


“Kami yakin bahawa pendedahan kepada pengalaman yang pelbagai adalah penting untuk perkembangan holistik anak-anak ini. Setiap lawatan, setiap program, setiap interaksi dengan masyarakat lebih luas menyumbang kepada pembentukan perspektif dan kemahiran hidup mereka,” tambahnya.


Kesan jangka panjang Darul Ihsan dan program susulannya, Ihsan Living, dapat dilihat melalui kisah bekas penghuni, Amirul (bukan nama sebenar).


“Darul Ihsan dan Ihsan Living telah banyak membantu dalam perkembangan diri saya dari segi peribadi dan pembangunan kemahiran. Peralihan saya dari Darul Ihsan ke Ihsan Living mengajar saya agar berdikari. Kemahiran hidup yang saya peroleh, telah meningkatkan keyakinan diri, dan saya akan sentiasa bersyukur atas sokongan mereka membantu saya melangkah ke hadapan.”


Bagi Pengurus Darul Ihsan, Encik Muhammad Dhuha Hassan, pendekatan berasaskan konsep ihsan, melakukan sesuatu dengan sebaik mungkin, mampu membawa perubahan positif kepada kehidupan anak-anak yatim ini.


“Apa yang penting, menunjukkan ihsan semasa berinteraksi dengan penghuni kami turut mencetuskan perubahan tingkah laku positif dalam diri mereka. Saya gembira dapat mencetuskan perubahan yang menggalakkan ini dan berharap dapat terus memberi perhatian dan sokongan yang diperlukan oleh penghuni agar mereka menjadi individu berdikari,” jelas Encik Muhammad Dhuha.


Pendekatan Darul Ihsan menekankan keperluan individu setiap anak, memahami bahawa setiap seorang datang dengan latar belakang dan cabaran berbeza.


“Ada penghuni yang kehilangan kedua-dua ibu bapa, ada yang datang daripada keluarga bermasalah, dan ada juga yang keluarganya tidak mampu menyediakan persekitaran sesuai untuk pertumbuhan mereka,” ujar Dr Abdul Qader.


Pendekatan yang disesuaikan dengan keperluan individu ini terbukti berjaya, dengan ramai bekas penghuni mencapai kejayaan dalam bidang akademik dan kerjaya serta kembali memberi sumbangan kepada masyarakat.


“Apa yang paling mengharukan adalah apabila bekas penghuni kami kembali untuk berkongsi pengalaman dan menjadi mentor kepada kanak-kanak di sini,” tambah Encik Muhammad Dhuha.


Bagi yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai Rumah Anak Yatim Darul Ihsan atau cara untuk menyumbang, sila layari visit.mtfa.org/ramadhanbh atau hubungi talian 6747-7556.



bottom of page