top of page

Kuih dibuat banduan bawa ‘Aidilfitri penuh Ihsan’ bagi keluarga memerlukan


Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (tengah), dan CEO MTFA, Dr Abdul Qader Al-Aidaroos (kanan), menyusun habuan ‘Aidilfitri penuh Ihsan’ ke dalam kereta seorang relawan, Encik Muhammad Nashri Jupri, untuk dihantar kepada penerima.
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (tengah), dan CEO MTFA, Dr Abdul Qader Al-Aidaroos (kanan), menyusun habuan ‘Aidilfitri penuh Ihsan’ ke dalam kereta seorang relawan, Encik Muhammad Nashri Jupri, untuk dihantar kepada penerima.

Satu inisiatif bersama yang bertujuan membawa keceriaan kepada keluarga kurang bernasib baik di serata Singapura telah diperkenalkan buat kali pertama oleh Persatuan Dana Amanah Muslimin (MTFA) dan Yellow Ribbon Industries (YRI), anak syarikat milik penuh Reben Kuning Singapura.


Inisiatif yang diberi namaAidilfitri penuh Ihsan’ itu menyaksikan banduan daripada bakeri penjara, Yellow Ribbon Bakery (YRB), membuat kuih-muih Raya yang kemudian akan diagihkan kepada 500 keluarga berpendapatan rendah, warga emas, ibu bapa tunggal, dan individu kurang upaya. 


Pek habuan perayaan itu akan dihantar kepada para penerima oleh 53 sukarelawan, termasuk penghuni Rumah Anak Yatim Darul Ihsan.


Pengagihan habuan itu diadakan pada 22 Mac, yang turut dihadiri Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, yang menekankan kepentingan inisiatif seperti itu bagi memupuk perpaduan dan empati dalam masyarakat.


“Ini adalah satu inisiatif yang sangat baik kerana ia membawa keceriaan kepada mereka yang memerlukan. Ia juga memberi makna yang lebih mendalam kepada konsep pemulihan dan peluang kedua.


“Dengan memberi ruang kepada individu dalam pemulihan untuk menyumbang kepada masyarakat, ia juga memupuk budaya empati dan keterangkuman dalam masyarakat kita,” kata Dr Faishal kepada Berita Minggu (BM).


Setiap pek habuan itu bernilai sekitar $72. Ia mengandungi empat botol biskut Hari Raya yang dibuat oleh banduan daripada YRB.

Penerima juga akan menerima set sabun pencuci tangan yang ditaja oleh para relawan.



Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MTFA, Dr Abdul Qader Al-Aidaroos, berkata inisiatif tersebut membawa makna lebih mendalam kerana ramai penerima yang dibantu MTFA berasal daripada keluarga yang salah seorang atau kedua-dua ibu bapa mereka sedang menjalani hukuman penjara. 


Menurutnya, inisiatif itu memberikan sokongan menyeluruh kerana MTFA membeli kuih daripada Yellow Ribbon, yang memberi peluang pekerjaan dan pendapatan kepada banduan yang bekerja di bakeri penjara. Kuih itu pula diberi kepada keluarga memerlukan, yang mungkin termasuk ahli keluarga banduan sendiri.


“Ini adalah konsep sokongan yang baru, dan saya percaya ia mempunyai kesan yang besar. Kita bukan sahaja menyokong penerima bantuan seperti biasa, tetapi juga memberikan sokongan kepada banduan dalam proses pemulihan mereka,” ujar Dr Abdul Qader.


Timbalan Pengurus Besar YRB, Encik Mohd Asshur Jahari, percaya setiap bentuk sokongan dapat mengukuhkan laluan bekas banduan untuk kembali ke pangkuan masyarakat.


“Inisiatif bermakna MTFA ini mencerminkan semangat peluang kedua, dengan berkongsi produk kami dengan orang tersayang atau menikmatinya sendiri, anda menjadi sebahagian daripada kisah lebih besar – kisah harapan, ketabahan, dan kebersamaan,” katanya.


Antara relawan inisiatif ini ialah Cik Bina Rahman, suri rumah berusia 62 tahun. Menjawab pertanyaan BM mengenai penglibatannya dalam inisiatif ini, beliau menjawab: “Saya bersyukur kerana dikurniakan kesihatan dan keupayaan untuk membantu orang lain, terutamanya dalam memberi kembali kepada masyarakat.


Kadangkala, apabila kita berada dalam lingkungan tertentu, kita kurang terdedah kepada realiti kehidupan mereka yang memerlukan. Inisiatif seperti ini membuka mata dan hati kita untuk lebih memahami serta menghargai kepentingan menyokong antara satu sama lain.”


bottom of page