MTFA sokong ibu tunggal bangkit ke arah masa depan lebih cerah
- MTFA SG
- Mar 14
- 2 min read

Kehidupan Cik Sakeena Banu Zahiruddin berubah secara mendadak pada 2019.
Selepas berkhidmat selama 27 tahun, beliau mengambil keputusan berhenti kerja demi mencari persekitaran baru yang lebih sesuai.
Namun, hanya sebulan selepas itu, beliau diserang sakit jantung – satu peristiwa yang mengubah seluruh perjalanan hidupnya.
“Saya ada penyakit jantung. Saya ada masalah oksigen. Tekanan darah saya terlalu rendah. Kadang-kadang saya perlu ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
“Saya akan rasa sangat lemah, sehinggakan saya pengsan beberapa kali. Kini, saya masih perlu mengambil ubat dan rawatan di hospital.
“Kalau saya penat, saya perlu menggunakan oksigen daripada mesin mudah alih untuk bertahan,” jelas Cik Sakeena.
Baginya, sumbangan bulanan yang diterimanya daripada Persatuan Dana Amanah Muslimin (MTFA) mungkin kelihatan kecil bagi sesetengah pihak, tetapi ia membawa kesan besar dalam kehidupan keluarganya.
“Bantuan MTFA walaupun tak banyak, amat berkat. Apa yang saya terima setiap bulan, saya peruntukkan terutama sekali bagi keperluan dan makanan anak-anak saya. Itu yang paling penting,” kata ibu tiga anak berusia 12, 16 dan 17 tahun.
Kini, beliau menjalani rutin harian sebagai suri rumah yang menjaga anak-anak perempuannya itu, di samping melakukan kerja rumah, semuanya dalam keadaan kesihatannya yang tidak menentu.
Cik Sakeena, 46 tahun, merupakan salah seorang daripada ratusan keluarga yang meraih manfaat daripada program bantuan MTFA.
MTFA adalah badan amal Islam yang telah berkhidmat kepada masyarakat Singapura selama lebih 120 tahun.
“Kami yakin bahawa setiap sumbangan, tidak kira sekecil mana, mampu membawa perubahan pada jangka panjang,” kata Pengurus Ihsan Aid MTFA, Cik Muzdalifah Anuar.
Cik Muzdalifah menjelaskan, bantuan MTFA merangkumi pelbagai aspek, termasuk bantuan kewangan, peluang pendidikan, pembangunan kemahiran serta sistem sokongan masyarakat yang mampan.
“Bagi keluarga yang terdiri daripada ibu atau bapa tunggal, cabaran yang dihadapi mereka sering dan lebih berganda.
“Kami berusaha memahami keadaan unik setiap keluarga ini, dan menyediakan sokongan yang diperlukan untuk membantu mereka bukan sahaja terus bertahan, bahkan maju dengan positif,” kata Cik Muzdalifah.
Sumbangan MTFA membolehkan anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah melanjutkan pelajaran dan juga mendapatkan asas pendidikan agama tanpa beban kewangan yang berat.
Ini sejajar dengan daya usaha barunya, ‘Ulum Ihsan. Program itu, yang menawarkan ilmu asas agama seperti Fardu Ain dan Al-Quran, dijangka dapat menggalakkan lebih ramai asatizah menyampaikan pendidikan Islam secara berstruktur terus ke rumah golongan berkenaan.
Bagi Cik Sakeena, bantuan MTFA membantunya melepasi saat-saat sukar, dan memberikannya harapan bagi masa depan lebih cerah.
“Apa yang saya hargai lebih daripada bantuan kewangan adalah keprihatinan yang ditunjukkan oleh kakitangan MTFA.
“Mereka sentiasa bersedia mendengar dan membantu mencari penyelesaian kepada masalah saya,” kata Cik Sakeena.
Untuk maklumat lanjut tentang program dan bantuan MTFA atau cara untuk menyumbang, sila layari pautan, visit.mtfa.org/ramadhan-bh atau hubungi talian 6747-7556.